Di Tebing Sungai Ini


Kaududuklah
di bangku-bangku ini
di tebing sungai ini
pada ketika-ketika begini.
Kaulihatlah
yang memancing ikan
dan sinar matahari petang
di atas pergolakan air.
Dan itik-itik yang berenang
dan angsa-angsa.
Kautunggulah
sambil berwispian angin bermain dengan rambutmu
dan daun-daun di julai rendang.
Dan di bangku engkau
duduk seorang
kerana bangku lain sudah penuh.
Baharu tadi dia hilang kekasih.




Hamburg
25/7/78

Mingguan Malaysia
c1980