Kasualti
kadang-kadang
aku terperanjat sebagaimana aku sedari hidupku telah terperanjat
dari keselesaan pelayaran di dalam sisa-sisa kewarasan
yang menyembunyi selamat dari semangat menggariskan pemandangan
dengan urat-urat lurus lalu diwarnakan kelabu simen dan batu
tiba-tiba aku terganjak dari
khayalan bila badanku terganjak
dan hidup mudaku dirompak demi semangat menggerakkan
dan menebalikkan gugusan-gugusan rumput hijau
dari tanah warisan mereka
hari-hari aku tekun dan jujur
memenuhi pesanan dan waktupun telah tekun
mencuri daun-daun haribulan dari kalendar
lalu tahun-tahun laris berlalu dengan pantas
menjumpai gersang dan kontang musim-musim yang lepas
jangan-jangan akupun terperangkap, dan telah ramai yang terperangkap
ke dalam aturan petak-petak ini yang tiada mempunyai rasa hati
semua diukur teliti
tiada terlebih atau terkurang walau seinci
dan kalau-kalau aku kau jumpai tiada
punyai peribadi bagaimana kau
maka aku tiada pernah membelajari affeksi.
Ogos 1985