(puisi untuk n)

 

dan engkau adalah sekuntum bunga liar.

Seorang yang parah

melarikan cederanya ke hujung rimba

anjing-anjing menyalak menghalau dari jauh

hatinya ditimpa bangunan-bangunan tumbang

 

dan engkau adalah kamar di belakang jendela.

Tirai menyembunyikan

seorang yang disesatkan malam

titis-titis peluh mengusik luka-lukanya

bagai kapal dilepaskan taufan, mencari pelabuhan

 

dan engkau adalah pena; ada novel.

Mukasurat

kosong, dan perkataan-perkataan yang sepatah dua

tiada dapat memujukkan haus seseorang

dan tinggal tersenyum dengan rambut terkecamuk di lewat malam

 

dan engkau adalah pagi-pagi di anjung, membaca kata-kata.

Dari asap, debu dan kabut

timbul rupa, timbul rasa

sebola cahaya, menyingsing

lalu seorang puisi dilahirkan

 

dan akulah pendaki.

dan engkaulah peruntuh gunung.

dan akulah meniti.

dan engkaulah membina jambatan.

dan akulah pemimpi.

dan engkaulah pembawa realiti.

dan akulah pelarian, pengembara, pengsastera, penyair

dan engkaulah misteri.

 

 

Ogos 1985

 

Dewan Sastera

Mac 1990