di atas belakin kering
Seorang aku
terlantar
di atas belakin kering
kaku
seorang aku
dilanggar
ketika bercita-cita
menyeberangi jalanraya.
Sebuah kereta merah
berkilau
tiba-tiba tiba.
Jeritan brek pun tercampur
jeritan
dan badan
dan tangan ternganga.
Bungkusan-bungkusan belibelah
tersergah, rebah
isinya tersepah.
Sedozen telur
pecah
beberapa tin sardin
bergolek mencari pinggir
segenggam bunga cengkih
bertaburan
Yang menunggu
sila tunggu lagi
dengan gelisah bertambah.
Bungkusan-bungkusan kehidupan
terlapah engkah
isinya terluah.
Sedozen impian
pecah.
Beberapa usahacita
bergolek ke longkang.
Segenggam harapan
bertaburan
kaku di atas belakin
kering.
1984
Lawatan Lain, DBP, 1995 |