kalau
tuanhamba
i.
kalau tuanhamba ke Kota Gelanggi
jangan
lupa membawa peta, kerana
raja, gajah
dan sejarah
bersembunyi
di antara batang sawit
ii.
kalau tuanhamba ke Pulau Tawar
singgah
sebentar di kubur Mat Kilau, supaya
melebur
darah yang beku seabad
akibat
hujan emas yang lebat
iii.
kalau tuanhamba ke Negeri Pahang
buat melawat
Taman Negara, tetapi
sang belang
dan rusa malu kepada
spesis
putih berbulu perang berbaju T
iv.
kalau tuanhamba ke Tanah Melayu
naik perahu dibawa
bayu, hitung
tanah dan air, bukit dan pasir, minyak
dan bata.
hitung manusia
v.
kalau tuanhamba ke Planet Bumi
jangan
lupa bawa tiket pergi-balik
kalau tuanhamba ke Bima Sakti
jangan
lupa bawa tiket pergi-balik
kalau tuanhamba ke semesta dunia
jangan
lupa bawa tiket pergi-balik
1992