dan engkau adalah sekuntum bunga
liar.
Seorang yang parah
melarikan
cederanya ke hujung rimba
anjing-anjing
menyalak menghalau dari
jauh
hatinya
ditimpa bangunan-bangunan tumbang
dan engkau adalah kamar di belakang jendela.
Tirai menyembunyikan
seorang yang disesatkan
malam
titis-titis peluh
mengusik luka-lukanya
bagai kapal
dilepaskan taufan, mencari pelabuhan
dan engkau adalah pena; ada novel.
Mukasurat
kosong,
dan perkataan-perkataan yang sepatah
dua
tiada dapat memujukkan
haus seseorang
dan tinggal tersenyum
dengan rambut terkecamuk di
lewat malam
dan engkau adalah pagi-pagi di anjung, membaca kata-kata.
Dari asap,
debu dan kabut
timbul
rupa, timbul rasa
sebola
cahaya, menyingsing
lalu seorang puisi
dilahirkan
dan akulah pendaki.
dan engkaulah peruntuh gunung.
dan akulah meniti.
dan engkaulah membina jambatan.
dan akulah pemimpi.
dan engkaulah pembawa realiti.
dan akulah pelarian,
pengembara, pengsastera, penyair
dan engkaulah misteri
xx untuk Ann xx
Ogos 1985
Dewan Sastera
Mac 1990 ("(Puisi untuk N)") |
Lawatan Lain, DBP, 1995 ("(Puisi untuk N)") |